Tuesday, July 10, 2007

Coklat terapi berkesan kurangkan tekanan

RAMAI wanita mengimpikan pemberian coklat dan bunga ketika menyambut hari lahir terutama daripada teman istimewa. Betapa besar kuasa coklat kerana ia mampu melambangkan kasih sayang dan cinta. Malah, kajian di Eropah juga membuktikan coklat adalah terapi paling berkesan untuk mengurangkan masalah dan tekanan.

Hakikatnya, terdapat tiga jenis coklat boleh diperoleh di pasaran iaitu susu, kosong atau pahit dan putih. Setiap coklat mempunyai khasiat berlainan dan berikut adalah beberapa jenis coklat dan khasiatnya kepada tubuh individu.

Coklat susu

Coklat susu mempunyai nilai pemakanan yang lebih baik
Mengandungi tenaga, protein, kalsium dan vitamin A dan B yang lebih tinggi
Kandungan protein, kalsium dan vitamin sebahagian besarnya disumbangkan oleh susu iaitu salah satu bahan utama dalam ramuan coklat susu.
Coklat susu seberat 100 gram boleh menyumbangkan tenaga sebanyak 18 peratus, protein (11 peratus), zat besi (8 peratus), kalsium (47 peratus) dan Vitamin A (11 peratus) yang diperlukan badan dalam tempoh sehari.
Coklat putih

Mempunyai kandungan tenaga yang tinggi.
Coklat putih seberat 100 gram boleh menyumbang 18 peratus tenaga yang diperlukan oleh tubuh manusia dalam sehari.
Di samping itu, coklat putih juga mengandungi kalsium dan vitamin yang tinggi.
Bagaimanapun, berbanding dengan coklat susu, kandungan protein dalam coklat putih adalah lebih rendah kerana coklat putih tidak mengandungi likur koko dan serbuk koko.
Coklat kosong

Mengandungi lemak dan zat besi yang tinggi.
Zat besi yang terkandung dalam 100 gram coklat kosong boleh menyumbang 23 peratus zat besi yang diperlukan oleh tubuh manusia
Bagaimanapun kandungan zat dalam coklat kosong lebih rendah daripada jenis coklat yang lain kerana ia tidak mengandungi campuran susu
Penting bagi individu membezakan coklat tulen dan coklat kompaun yang ada dalam pasaran. Definisi coklat mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985 menjelaskan coklat tulen adalah coklat yang mengandungi tidak lebih daripada lima peratus lemak sayuran selain daripada lemak koko.

Sementara coklat bagi tujuan salutan pembuatan biskut atau produk lain mesti mengandungi tidak kurang daripada 12 peratus likur koko.

Oleh itu, coklat yang tidak menepati takrifan yang disebutkan dalam akta berkenaan ialah coklat kompaun atau coklat gantian yang tidak mempunyai nilai pemakanan yang setara dengan coklat tulen.

Individu boleh mengenal pasti perbezaan antara coklat kompaun atau gantian melalui bahan yang dilabelkan dalam pembungkusan coklat berkenaan.

Coklat tulen menggunakan lemak koko dan likur koko. Sementara coklat kompaun atau gantian menggunakan lemak gantian yang lain seperti minyak isirung kelapa sawit.

No comments: